
Apabila dikaitkan dengan persoalan samada kita dan dunia di sekeliling kita ini adakah suatu realiti atau ilusi, maka faktor masa merupakan komponen yang paling penting dan merupakan satu wadah atau bekas dimana setiap kejadian itu ditempatkan.
Membicarakan persoalan masa merupakan satu perbicaraan besar yang meliputi ruang yang amat luas dan merupakan pokok kepada segala rahsia penciptaan. Dalam menyentuh konsep penciptaan maka faktor masa merupakan asas dan intinya. Masa tidak dapat dipisahkan dalam setiap kejadian penciptaan dan di dalam apa rupa bentuk dimensi sekali pun.
Sudah menjadi fakta dalam pengetahuan kita bahawa masa bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak bahkan sebaliknya ia adalah sesuatu yang bersifat relatif. Maksudnya bahawa setiap daripada kita atau sesuatu objek itu tidak terikat kepada suatu faktor masa yang mutlak sebaliknya ianya berbeza pada setiap individu bergantung kepada pergerakan (halaju) individu tersebut dibandingkan dengan halaju mutlak iaitu pergerakan cahaya.
Oleh itu didalam hukum fizik semakin laju kita bergerak, maka masa akan menjadi semakin perlahan. Sebagai penjelasan diandaikan kita boleh bergerak selaju cahaya maka kita pasti akan melihat dunia di sekeliling kita seakan-akan menjadi seperti kaku, beku dan tidak bergerak. Pada masa itu kita akan melihat ombak seolah-olah membeku, kapal terbang seolah-olah melekat di langit dan hujan yang turun seolah titisan-titisan kristal yang terapung dan tidak jejak kebumi dan lebih aneh lagi jika kelajuan itu dapat dipacu melebihi kelajuan cahaya maka pada masa itu kita akan melihat cahaya matahari yang memancar seolah-olah hujan kabus yang berwarna-warni sedang menyirami bumi dan banyak lagi keanehan-anehan yang sukar untuk digambarkan secara jelas.
Contoh lain yang boleh dibuat perbandingan ialah apabila kita meluncur keluar dari planet bumi menuju keruang angkasa dengan kelajuan melebihi kelajuan cahaya dan kita mampu meneropong kebumi terus-menerus maka pada masa itu apa yang ternampak oleh kita adalah suasana planet bumi yang kembali ke zaman silam. Dengan kata lain masa telah berputar kebelakang. Masa bukan sahaja semakin perlahan malah akan terhenti dan seterusnya akan berputar kembali kebelakang jika seseorang itu bergerak semakin laju jauh melangkaui kelajuan cahaya.
Perbandingan-perbandingan seperti yang dinyatakan di atas adalah merupakan suatu keanehan dan mungkin tidak terjangkau oleh pemikiran yang biasa. Tetapi keanehan-anehan yang dirasakan itu sebenarnya adalah apa yang kita semua alami dan hadapi pada setiap masa dan ketika tanpa kita menyedarinya.
Sedarkah anda bahawa apabila kita memandang kelangit dan memandang bintang-bintang di malam yang terang, kita sebenarnya memandang ke masa silam. Bintang-bintang sebenarnya berada dalam kejauhan jarak yang luar biasa dari kita. Jaraknya tidak lagi dihitung dengan kiraan batu atau km tetapi sebaliknya dalam kiraan tahun cahaya. Ada di antara bintang-bintang itu mencapai kejauhan ratusan dan ribuan tahun cahaya dari kita. Jika diambil kira kedudukan galaksi-galaksi yang berada diluar galaksi kita ini iaitu Bima Sakti (milkway galaxi ) ianya lebih menakjubkan lagi dengan kejauhan yang mencapai jutaan bahkan billion tahun cahaya. Oleh itu apabila kita merenung bintang-bintang pada hakikatnya kita sedang merenung jauh kemasa silam.
Stephen W. Hawking telah mengklasifikasikan masa dalam tiga kategori iaitu termodinamik time, cosmologikal time dan psikologikal time. Ketiga-tiga kategori ini pula menuju dan mengarah pada hala ( time arrow) yang sama. Atas konsep inilah menurut Hawking ia menjelaskan kenapa kita hanya mengingati masa silam dan bukan masa depan. Hawking ada menyentuh tentang Arrow of time ini secara ringkas dan kemunasabahannya pengembaraan melalui masa (Time Travelling) dalam buku beliau Brief History Of Time From The Big Bang To Black Holes. Keanehan dalam kerahsiaan masa ini dapatlah dirumuskan bahawa seolah-olah ianya akan dapat dimanipulasi di mana seorang itu akan mampu pergi ke masa depan dan kembali ke masa silam.Dimana secara teorinya ini akan memungkinkan kita mengembara melalui terusan masa.
Ada sesuatu yang tidak difahami oleh Hawking yang cuba mengungkap hakikat masa dari sudut hukum kuantum bahawa masa yang relatif itu sendiri adalah sebenarnya tertakluk kepada satu hukum realiti masa yang mutlak. Dalam permasalahan ini beliau ada melontarkan pertanyaan “Adakah Tuhan mempunyai PILIHAN dalam proses penciptaan yang begitu komplek ini atau adakah Tuhan mencipta alam semesta ini seperti permainan jigsaw puzzle dengan mengkucar-kacirkannya dan melontarkannya jauh-jauh”.Alam semesta ini dalam teori kuantum adalah menuju kesuatu arah ketidak seimbangan yang sukar diramal selari dengan proses pengembangan alam semesta dengan kecepatan yang amat menakjubkan. Dalam realiti, alam semesta ini sebenarnya bermula dengan satu titik keseimbangan yang amat tinggi dan mula beransur menuju kearah ketidak seimbangan dan persoalannya adakah ia menuju kearah kemusnahan?. Mungkinkah alam semesta ini sebenarnya dalam proses evolusi yang berulang dengan kata lain alam semesta ini sebenarnya adalah bersifat kekal abadi.
No comments:
Post a Comment