
Masih menjadi satu persoalan besar dan masih menjadi misteri adalah berkenaan kewujudan alam multi dimensi. Jika diperhatikan tentang konsep masa maka kewujudan alam multi dimensi ini tidak mungkin boleh dipertikaikan lagi. Secara teorinya dalam konsep fizik masa adalah berkait rapat dengan kecepatan yakni kelajuan cahaya. Dengan kata lain masa akan semakin perlahan terhadap objek yang bergerak laju sehingga mencapai kelajuan cahaya. Di sini boleh difahami bahawa memang terdapat pelbagai zaman dan masa yang berbeza pada dimensi yang berbeza.
Multi dimensi ini memang difahami secara teorinya dan dapat dibuktikan kewujudannya secara perkiraan matematik. Masalah yang mengekang pembuktian ini dan jalan ke arah pembuktian dimensi yang berbeza tersebut adalah teknologi. Tiada teknologi manusia setakat ini yang mampu mencapai keadaan yang memungkinkan kita mereliasasikannya. Tanpa kita sedari sebenarnya setiap kejadian dan peristiwa di alam semesta ini adalah dirakam secara semulajadi. Ianya dikatakan begitu kerana setiap imej benda-benda dan peristiwa akan bergerak keluar meninggalkan sumbernya dengan kecepatan cahaya dan keadaan ini akan berlaku secara berterusan selagi wujudnya alam semesta. Imej-imej yang terakam ini tidak akan hilang dan akan kekal dan secara langsung mewujudkan satu dimensi alternatif kepada dimensi asal dimana sumber itu berpunca.
Jika di dalam filem-filem fiksyen sains ada menceritakan kisah-kisah pengembaraan melalui masa, maka dari segi logiknya ianya tidak mustahil untuk dilakukan. Apa yang mustahil untuk dilakukan oleh pengembara-pengembara tersebut adalah mengubah peristiwa-peristiwa di masa tersebut. Pengembara-pengembara itu umpamanya tidak mungkin akan dapat menghalang kemalangan yang bakal menyebabkan kematian kawan karibnya atau mengambil kesempatan untuk menjadi kaya di pasaran saham dan sebagainya.
Semua itu adalah mustahil untuk dilakukan walaupun ianya berada di zaman tersebut kerana zaman di mana dia berada itu hanyalah merupakan satu imej yang terakam di alam semesta dan ianya sesuatu yang telah berlalu dan tidak mungkin akan ada cara untuk mengubahnya. Pengembara tersebut sebenarnya tidak lebih dari seorang penonton imej-imej realiti disekelilingnya tanpa mampu menyentuh atau memanipulasi keadaan persekitarannya.
Perbandingan keadaan tersebut adalah umpama seseorang penonton filem di pawagam tanpa memiliki apa-apa kemampuan untuk mempengaruhi jalan cerita filem tersebut bezanya pengembara tersebut memang berada di dalam zaman itu tetapi realiti sekelilingnya seolah-olah virtual realiti 3D.
Kesimpulannya disini ialah kita memang boleh mengembara merentasi masa tetapi tidak mungkin kita boleh merubah apa-apa kejadian pada zaman tersebut, kerana ia hanya merupakan imej-imej rakaman bagi masa yang telah berlalu. Selain itu pengembaraan merentasi masa sebenarnya merupakan pengembaraan yang sehala, kita hanya boleh bergerak kemasa lampau dan tidak mungkin kemasa depan. Oleh itu tidak menghairankan apabila Hawking menyatakan kita hanya akan mengingati masa lampau dan bukan masa hadapan.
Tetapi ada sesuatu yang berbeza apabila permasalahan ini dilihat dari sudut keagamaan atau teologi. Mereka-mereka yang beragama terutamanya penganut-penganut agama samawi amat mempercayai ketentuan Tuhan atau yang dinamakan takdir. Takdir menurut individu-individu tersebut adalah satu ketentuan masa hadapan yang telah disediakan dan ditetapkan oleh Tuhan pencipta mereka. Oleh itu dari sudut teologi masa hadapan sebenarnya telah wujud dan manusia hanya berada pada satu titik dalam garisan masa tersebut dan sedang menuju kemasa hadapan yang memang telah tersedia.
Perbezaan pendapat dan pandangan dalam kedua-dua bidang ini iaitu teologi dan sains tidak dapat dielakkan. Cuma kadang kala terdapat perbezaan yang tajam dan ekstrem dalam kedua-dua aliran ini iaitu apabila ianya menyentuh tentang asal-usul kejadian samada ianya melibatkan penciptaan secara mutlak atau kewujudan secara kebetulan lalu berkembang secara rawak dalam proses evolusi.
Perbezaan kedua pihak ini begitu ketara dan keras dengan di satu pihak mengistyiharkan mereka atheis dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan dan fungsinya dalam penciptaan dan sementara di pihak yang satu lagi amat menyanjungi keagungan dan kekuasaan Tuhan dalam proses penciptaan. Pertembungan di antara kedua idealogi ini tidak mungkin akan menemui jalan penyelesaian jikalau kedua-dua pihak begitu taksub akan pegangan masing-masing.
Berbalik kepada permasalahan masa hadapan disini jelas terdapat satu persamaan atau satu ketentuan iaitu memang masa hadapan telah wujud . Perbezaannya ialah samada ianya boleh diubah atau sebaliknya. Jika ahli-ahli teologi amat mempercayai bahawa masa hadapan telah tersedia ada oleh itu secara teorinya ia adalah selari dengan teori sains. Masalahnya disini ialah manakala mereka-mereka yamg menolak konsep penciptaan percaya bahawa semua asas penciptaan dialam semesta ini adalah materi begitu juga dengan masa oleh itu mereka boleh memanipulasinya termasuk mengembara merentasi masa.
Ahli-ahli teologi mempercayai bahawa masa adalah khazanah atau perbendaharan mutlak Yang Maha Pencipta. Manakala ahli-ahli sains pula menyatakan bahawa masa adalah satu konsep dalam ruang waktu dan ianya bersifat relatif dan sejak akhir-akhir ini telah ada pendapat yang mengatakan bahawa masa adalah hanya satu persepsi sahaja. Perbezaan dan pertembungan pendapat ini akan berterusan sehinggalah konsep dan rahsia masa yang sebenarnya terbongkar.
Kajian-kajian terhadap kerahsiaan masa adalah satu proses ilmiah yang berterusan dimana sejak akhir-akhir ini telah menarik ramai ahli-ahli teoritikal fizik melibatkan diri secara serius dan telah ada yang membuat kesimpulan bahawa pengembaraan melalui masa adalah sesuatu yang logik. Dengan pemahaman yang mendalam tentang teori relativiti kecerdasan manusia telah hampir dapat merungkai banyak kesamaran yang meliputi selama ini seperti hukum graviti, teori kuantum dan sebagainya.
Terbaru adalah pemahaman tentang konsep ruang dan masa. Dalam teori relativiti Einstain, graviti mempunyai efek yang amat besar terhadap ruang dan masa. Suatu jisim yang mempunyai daya graviti yang amat besar berupaya meleding dan mengherot ruang dan masa. Ini bererti jika keadaan ini boleh dimanipulasi maka fakta bahawa jarak terdekat antara 2 titik haruslah dalam satu garisan lurus sudah menjadi tidak benar lagi kerana apabila dimasukkan faktor graviti dengan kemampuan meleding dan mengherot ruang masa, maka jarak terdekat antara 2 titik bukan lagi dalam satu garisan lurus tetapi sebaliknya hanyalah pada satu titik.
No comments:
Post a Comment