Sunday, December 28, 2008

Eksperimen Big Bang

Eksperimen Big Bang


GENEVA - Sekumpulan saintis tajaan Pertubuhan Eropah Bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) akan melancarkan satu eksperimen yang dibimbangi boleh memusnahkan dunia, esok.

Eksperimen paling kompleks itu bertempat di dalam sebuah terowong sepanjang 27 kilometer dan pada kedalaman 100 meter di bawah permukaan Bumi di sempadan Perancis-Switzerland.

Ia cuba mengulangi teori Letupan Besar atau Big Bang yang menurut sains, membawa kepada pembentukan alam semesta. 

Eksperimen mega disifatkan sukar dan berbahaya yang dibiayai CERN itu mendapat lampu hijau selepas persediaan hampir dua dekad dengan menelan belanja AS$10 bilion (RM34.3 bilion). 

Ia memerlukan kepakaran sekumpulan 5,000 saintis, jurutera dan juruteknik dari kira-kira 36 buah negara yang berusaha memasti-kan eksperimen itu berjaya dilakukan.

BEBERAPA saintis melihat skrin komputer di pusat kawalan Pertubuhan Eropah Bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) di Geneva pada Rabu lalu. 

 

Sekumpulan saintis yang menyediakan mesin pemecut jirim terbesar dikenali sebagai Large Hadron Collider (LHC) itu turut menerima ancaman bunuh.

Menurut sebuah akhbar semalam, ancaman bunuh itu dihantar oleh sekumpulan pengkritik yang bimbang eksperimen tersebut mampu memusnahkan dunia. 

Eksperimen yang menggunakan mesin itu akan memecut partikel proton hampir menyamai kelajuan cahaya bersamaan 186,282.397 batu sesaat.

Partikel tadi akan dihentam dengan partikel lain yang menghasilkan satu letupan amat kuat mirip Big Bang.

Apabila pertembungan itu berlaku, saintis-saintis berharap ia dapat menghasilkan semula keadaan ketika detik permulaan selepas Big Bang iaitu semasa alam semesta mula terbentuk.

TEROWONG yang menempatkan mesin pemecut jirim. 

 

Bagi memastikan semua aspek berhubung letupan itu dipantau dan dirakam, 60,000 buah komputer akan digunakan.

"Ia akan menganalisis eksperimen itu seperti sebuah kamera digital gergasi berkapasiti 150 juta piksel dan berupaya merakam gambar pada kelajuan 600 juta kali sesaat," kata Ketua Eksperimen CERN, Ian Bird.

"Kami sedang membuka sempadan baru dalam bidang sains. Bagaimanapun, teknologi, kaedah dan keputusan eksperimen itu akan diaplikasi dalam bidang industri," kata penyelia rangkaian komputer itu, Ruth Pordes.

Menurut teori Big Bang, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlaku satu letupan yang kuat pada 10 hingga 20 bilion tahun dahulu.

Hasil daripada letupan yang dinamakan Big Bang itu berlaku proses pengembangan serta mewujudkan angkasa lepas, galaksi, matahari dan seumpamanya.

Teori ini pada asalnya diutarakan oleh Albert Einstein dan dimajukan oleh pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann.

Walaupun projek CERN itu dipercayai bermanfaat kepada tamadun manusia, sekumpulan saintis telah memfailkan saman di Mahkamah Hak-Hak Asasi Manusia Eropah bagi menghalangnya.

Mereka bimbang projek CERN menghasilkan letupan di luar kawalan yang dibimbangi lebih kuat daripada bom nuklear dan boleh mendatangkan kemusnahan pada skala global.

BULATAN ini menunjukkan lokasi terowong bawah tanah yang menempatkan mesin pemecut jirim terbesar di dunia di sempadan Perancis-Switzerland. 

 

Bagaimanapun, seorang profesor di Universiti Manchester yang turut terlibat dengan projek CERN, Brian Cox berkata, kebimbangan berhubung eksperimen itu adalah tidak berasas.

"Sesiapa yang berfikir bahawa mesin itu akan memusnahkan dunia adalah mengarut," katanya.

Namun, bahaya mesin itu masih dianggap satu realiti kerana tiada siapa yang tahu secara terperinci sekuat mana tenaga yang dihasilkan apabila jirim proton dalam sesuatu atom dimusnahkan. – Agensi


Debaran Big Bang


GENEVA - Pakar-pakar di seluruh dunia terutama sekali ahli fizik tersohor, Profesor Stephen Hawking (gambar) menanti dengan penuh debaran detik bermulanya eksperimen saintifik terbesar di dunia yang dijadualkan pada hari ini waktu Barat.

Eksperimen yang dibiayai Pertubuhan Eropah Bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) itu bertempat di dalam sebuah terowong sepanjang 27 kilometer, pada kedalaman 100 meter di bawah permukaan bumi di sempadan Perancis-Switzerland.

 

Menggunakan alat pemecut partikel atau jirim terbesar pernah dibina dengan kos AS$5 bilion (RM17.2 bilion) dikenali sebagai Large Hadron Collider (LHC), projek CERN cuba mengulangi teori Letupan Besar atau Big Bang yang menurut sains, membawa kepada pembentukan alam semesta.

Selain itu, eksperimen tersebut yang menelan belanja lebih AS$10 bilion (RM34.3 bilion) bermatlamat menerobos kewujudan dimensi lain dan mengesahkan teori Hawking bahawa Lohong Hitam atau Black Hole di angkasa lepas mengeluarkan pancaran radiasi.

Hawking yang dilahirkan pada tahun 1942, merupakan seorang profesor matematik di Universiti Cambridge, London. Beliau mengalami kelumpuhan kekal dari leher ke bawah akibat penyakit saraf dan memerlukan bantuan kerusi roda dan alat elektronik bagi membantunya bertutur.

Namun, di sebalik kecacatan fizikalnya, pengarang buku A Brief History of Time itu disifatkan sebagai ahli fizik termasyhur selepas Albert Einstein dan bertanggungjawab mengutarakan teori bahawa Lohong Hitam memancarkan sinaran radiasi atom sehingga kehabisan tenaga sebelum meletup.

Istilah Lohong Hitam diperkenalkan oleh seorang pakar fizik, John Wheeler pada tahun 1960-an merujuk kepada fenomena kemusnahan bintang besar (berkali-kali ganda lebih besar dari matahari).

Teori Hawking itu mendapat tentangan ahli-ahli fizik masa kini kerana menurut mereka, apabila fenomena Lohong Hitam berlaku semua jirim atau atom yang membentuk bintang itu ranap lalu mengeluarkan tarikan graviti amat kuat sehingga berupaya menyedut semua benda termasuk cahaya.


 


Istilah Big Bang pula dicipta oleh seorang saintis Britain, Fred Hoyle pada tahun 1949, merujuk kepada keadaan alam semesta ini yang pada asalnya bercantum padu, kemudian berselerak dan mengembang selepas satu letupan kuat kira-kira 13 bilion tahun dahulu.

Pakar-pakar sains cuba membentuk keadaan Big Bang pada skala kecil di dalam terowong itu dengan memecut dan menghentam dua partikel proton hampir pada kelajuan cahaya bersamaan 300,0000 kilometer sesaat.

"Ini adalah saat yang mengembirakan untuk fizik," kata seorang pakar fizik di Universiti Southampton, Profesor Nick Evans.

"Mesin itu akan membantu para saintis membongkar rahsia alam semesta. Apa yang menarik mengenai eksperimen ini adalah kami pastinya akan membuat penemuan baru," tambahnya.

Walaupun eksperimen itu disifatkan sebagai merevolusikan penemuan fizik, saintis-saintis yang terlibat dengan projek CERN tidak terlepas daripada menerima ugutan bunuh.

Keadaan itu berlaku kerana terdapat kelompok pakar dan individu yang bimbang letupan yang tercetus turut akan membentuk Lohong Hitam dengan tarikan graviti mega.

Mereka bimbang dunia akan kiamat apabila Lohong Hitam kecil itu menyedut semua benda di Bumi ini kerana tiada eksperimen seumpamanya pernah dilakukan sebelum ini. – Agensi

Ujian pertama Big Bang berjaya

 

SEKUMPULAN saintis melihat skrin yang menunjukkan mesin pemecut jirim gergasi dihidupkan di pusat kawalan di Geneva semalam. 


GENEVA- Berita baik setakat ini, dunia masih belum kiamat walaupun sekumpulan saintis semalam melakukan ujian pertama Letupan Besar atau dikenali sebagai Big Bang yang menyebabkan terbentuknya alam semesta seperti Bumi. 

Saintis-saintis itu bersorak kegembiraan di sebuah bilik kawalan Pertubuhan Untuk Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Geneza, Switzerland selepas satu pancaran partikel proton berjaya dilakukan dalam terowong sepanjang 27.36 kilometer di sempadan Perancis-Switzerland.

Sebelum ini terdapat kebimbangan di kalangan beberapa pihak bahawa ujian terbesar dalam sejarah fizik itu akan mewujudkan lohong gelap gergasi sekali gus menelan Bumi. Bagaimanapun, ujian pertama itu hanya melibatkan tembakan pancaran cahaya partikel proton bersaiz sehelai rambut manusia.

Ujian di bawah tanah yang lebih besar akan tetap dilakukan selepas ujian kecil itu.

"Lima, empat, tiga, dua, satu, tiada apa-apa berlaku," kata ketua ujian itu, Dr. Lyndon Evans dengan nada berseloroh ketika mesin pemecut jirim terbesar di dunia iaitu Large Hadron Collider dihidupkan.

Beliau menyatakan demikian sejurus satu kerlipan muncul di skrin komputer yang memberi petunjuk bahawa mesin tersebut berjaya dihidupkan. Usaha bertahun-tahun para saintis selama ini akhirnya membuahkan hasil.

 

GAMBAR ini menunjukkan Profesor Peter Higgs berada dalam terowong yang menempatkan mesin pemecut jirim di sempadan Perancis-Switzerland pada 5 April lalu. 


Ujian pertama dengan menggunakan mesin bernilai AS$3.8 bilion (RM13.1 bilion) itu dilakukan pada pukul 9.32 pagi waktu tempatan (3.32 petang waktu Malaysia). 

Mesin itu dibina sejak 2003 dan ditempatkan di dalam sebuah terowong 100 meter di bawah tanah. Ujian yang dilakukan oleh CERN itu ditunggu-tunggu oleh 9,000 ahli fizik di seluruh dunia.

Projek itu menarik penyertaan sejumlah penyelidik daripada 80 buah negara di seluruh dunia. 

Seramai 1,200 penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) turut menyertai ujian itu di mana negara tersebut menyumbang wang sebanyak AS$531 juta (RM1.8 bilion).

Jepun juga turut menjadi penyumbang utama dalam projek itu. Ujian itu juga mendapat sokongan ahli fizik terkenal dari Britain, Profesor Stephen Hawking yang kini lumpuh kerana menghidap penyakit saraf.

Ketua Jurucakap CERN, James Gillies berkata: "Kita memulakan ujian dalam kuantiti yang kecil."

"Kami memulakan ujian dengan satu cahaya berpadu yang berkuasa rendah.

"Kami memperoleh pengalaman dengan kuasa rendah dan kemudian kami akan meningkatkannya selepas mengetahui kemampuan mesin itu," jelasnya. 

Bagaimanapun, katanya, perkara paling berbahaya yang boleh terjadi adalah jika satu pancaran pada kuasa maksimum gagal dikawal. Beliau berkata, jika keadaan itu berlaku, mesin pemecut itu boleh rosak atau runtuh ke dalam terowong.

Projek itu dimulakan sejak 30 tahun lalu tetapi mengalami beberapa halangan termasuk masalah kos tinggi. Mesin itu direka untuk menghentam dua proton iaitu partikel yang terkandung dalam satu-satu atom pada kelajuan hampir menyamai pergerakan cahaya iaitu 300,000 kilometer sesaat.

 

BULATAN dalam gambar ini menunjukkan lokasi terowong eksperimen Letupan Besar atau Big Bang dilakukan di sempadan Perancis-Switzerland semalam. 


Matlamat utamanya ialah mengulangi kejadian Big Bang.

Istilah Big Bang, dicipta oleh seorang saintis Britain, Fred Hoyle pada tahun 1949, merujuk kepada alam semesta yang pada asalnya bercantum padu, kemudian berlaku satu letupan yang kuat kira-kira 13 bilion tahun dahulu.

Hasil daripada letupan itu, angkasa lepas, galaksi dan matahari wujud. – Agensi






Hawking bertaruh teori

BEBERAPA saintis melihat komputer di bilik kawalan eksperimen Big Bang di dekat Geneva kelmarin. 


 

GENEVA - Saintis terkenal, Profesor Peter Higgs "menyerang" pesaing bagi memperoleh hadiah Nobel iaitu Profesor Stephen Hawking, lapor sebuah akhbar semalam.

Higgs mendakwa hasil kerja Hawking yang kini lumpuh kerana penyakit saraf berhubung teori kewujudan alam semesta sebagai tidak cukup bagus.

Sebelum ini timbul perbalahan berhubung penemuan terbaru daripada eksperimen mesin pemecut jirim terbesar di dunia iaitu Large Hadron Collider (LHC) bagi merungkai teori Letupan Besar atau Big Bang yang dimulakan kelmarin di sempadan Switzerland-Perancis.


Higgs terkenal dengan teorinya berhubung kewujudan Partikel Tuhan atau Higgs Boson yang dianggap penting oleh para saintis bagi memahami asal-usul jisim.

Bagaimanapun, Hawking dalam satu wawancara menyatakan bahawa eksperimen menggunakan mesin itu akan menjadi lebih menarik sekiranya partikel Higgs Boson gagal ditemui.

Hawking juga sanggup bertaruh sebanyak AS$100 (RM347) bahawa partikel itu tidak wujud dan menegaskan bahawa banyak penemuan menarik bakal berlaku dalam eksperimen Big Bang.

Bagaimanapun, Higgs yang mencadangkan kewujudan partikel itu 44 tahun lalu mengakui bahawa dia tidak membaca hasil kajian asal Hawking yang menafikan teorinya.

"Bagaimanapun, saya membaca salah satu hasil tulisannya dan saya berpendapat ia adalah asas kepada pengiraan yang dilakukannya.

"Secara jujur saya berpendapat bahawa hasil kerja yang dilakukannya adalah tidak cukup bagus," katanya.- Agensi


Lagi ujian Big Bang

 

SEORANG pekerja berjalan dekat mesin pemecut jirim terbesar dunia dalam sebuah terowong di sempadan Perancis-Switzerland. 

GENEVA - Mesin pemecut jirim terbesar di dunia Large Hadron Collider (LHC) dijadualkan bersedia digunakan bagi menghentam dua proton pada awal minggu depan, lapor sebuah akhbar semalam.

Eksperimen itu akan dilakukan selepas mesin tersebut yang berharga £3.6 bilion (RM22.7 bilion) dibaiki oleh sekumpulan jurutera.

Mesin yang dibina di dalam terowong sepanjang 27 kilometer, pada kedalaman 100 meter di bawah permukaan bumi di sempadan Perancis-Switzerland itu digunakan bagi mengulangi fenomena Letupan Besar atau Big Bang.

Eksperimen menggunakan mesin tajaan Pertubuhan Eropah Bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) itu sepatutnya bermula minggu ini tetapi terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal.

Masalah yang dihadapi dapat diselesaikan kelmarin dan proses menembak proton dalam arah bertentangan di dalam terowong sebelum kedua-dua jirim itu dihentam menerusi mesin berkenaan dijangka bermula pada awal minggu depan.

Ketika itu, saintis-saintis CERN berupaya menyelidik apa yang berlaku sejurus selepas letupan Big Bang yang menurut teori sains, membawa kepada pembentukan alam semesta.

"Perancangan sekarang adalah untuk menangkap jirim kedua dan apabila kedua-dua jirim itu bersedia kami akan memulakan proses hentaman," kata seorang saintis, Dr. Laurent Tavia.

Eksperimen CERN itu menelan belanja AS$10 bilion (RM34.3 bilion) melibatkan kepakaran sekumpulan 5,000 saintis, jurutera dan juruteknik di mana sebelum ini sebahagian saintis menerima ancaman bunuh daripada pihak yang menganggap ujian itu akan menyebabkan dunia kiamat. – Agensi

Pakar alam semesta bersara

 


CAMBRIDGE - Pakar teori alam semesta, Stephen Hawking (gambar) akan bersara daripada jawatannya di Universiti Cambridge pada tahun depan namun beliau mahu meneruskan penerokaan masa dan angkasa.

Hawking, 66, kini memegang jawatan Kursi Profesor Matematik Lucasian yang pernah disandang ahli fizik terkenal, Isaac Newton pada kurun ke-18.

Pihak pengurusan universiti berprestij itu semalam menyatakan Hawking akan berundur menjelang tamatnya tahun akademik pada September depan tetapi akan terus menduduki kursi tersebut.

"Kami mahu beliau meneruskan kerja-kerja di Jabatan Matematik Gunaan dan Fizik Teori terutama dalam penyelidikan angkasa dan graviti," kata ketua jabatannya, Profesor Peter Haynes.

Hawking terkenal menerusi sejumlah teori mengenai lohong hitam dan hakikat masa yang telah dilakukannya sejak beberapa lama walaupun berada di dalam keadaan lumpuh akibat penyakit saraf motor.

Dasar Universiti Cambridge menetapkan ahli akademik perlu bersara pada akhir tahun akademik apabila individu berkenaan mencecah umur 67 tahun.

Hawking yang mencapai umur 67 tahun pada 8 Januari ini memegang kursi tersebut sejak 1979.

Beliau turut menerbitkan sejumlah buku termasuk A Brief History of Time dan George's Secret Key to the Universe. - AP


Tuesday, December 9, 2008

MULTI DIMENSI.




Masih menjadi satu persoalan besar dan masih menjadi misteri adalah berkenaan kewujudan alam multi dimensi. Jika diperhatikan tentang konsep masa maka kewujudan alam multi dimensi ini tidak mungkin boleh dipertikaikan lagi. Secara teorinya dalam konsep fizik masa adalah berkait rapat dengan kecepatan yakni kelajuan cahaya. Dengan kata lain masa akan semakin perlahan terhadap objek yang bergerak laju sehingga mencapai kelajuan cahaya. Di sini boleh difahami bahawa memang terdapat pelbagai zaman dan masa yang berbeza pada dimensi yang berbeza.

Multi dimensi ini memang difahami secara teorinya dan dapat dibuktikan kewujudannya secara perkiraan matematik. Masalah yang mengekang pembuktian ini dan jalan ke arah pembuktian dimensi yang berbeza tersebut adalah teknologi. Tiada teknologi manusia setakat ini yang mampu mencapai keadaan yang memungkinkan kita mereliasasikannya. Tanpa kita sedari sebenarnya setiap kejadian dan peristiwa di alam semesta ini adalah dirakam secara semulajadi. Ianya dikatakan begitu kerana setiap imej benda-benda dan peristiwa akan bergerak keluar meninggalkan sumbernya dengan kecepatan cahaya dan keadaan ini akan berlaku secara berterusan selagi wujudnya alam semesta. Imej-imej yang terakam ini tidak akan hilang dan akan kekal dan secara langsung mewujudkan satu dimensi alternatif kepada dimensi asal dimana sumber itu berpunca.

Jika di dalam filem-filem fiksyen sains ada menceritakan kisah-kisah pengembaraan melalui masa, maka dari segi logiknya ianya tidak mustahil untuk dilakukan. Apa yang mustahil untuk dilakukan oleh pengembara-pengembara tersebut adalah mengubah peristiwa-peristiwa di masa tersebut. Pengembara-pengembara itu umpamanya tidak mungkin akan dapat menghalang kemalangan yang bakal menyebabkan kematian kawan karibnya atau mengambil kesempatan untuk menjadi kaya di pasaran saham dan sebagainya.

Semua itu adalah mustahil untuk dilakukan walaupun ianya berada di zaman tersebut kerana zaman di mana dia berada itu hanyalah merupakan satu imej yang terakam di alam semesta dan ianya sesuatu yang telah berlalu dan tidak mungkin akan ada cara untuk mengubahnya. Pengembara tersebut sebenarnya tidak lebih dari seorang penonton imej-imej realiti disekelilingnya tanpa mampu menyentuh atau memanipulasi keadaan persekitarannya.

Perbandingan keadaan tersebut adalah umpama seseorang penonton filem di pawagam tanpa memiliki apa-apa kemampuan untuk mempengaruhi jalan cerita filem tersebut bezanya pengembara tersebut memang berada di dalam zaman itu tetapi realiti sekelilingnya seolah-olah virtual realiti 3D.

Kesimpulannya disini ialah kita memang boleh mengembara merentasi masa tetapi tidak mungkin kita boleh merubah apa-apa kejadian pada zaman tersebut, kerana ia hanya merupakan imej-imej rakaman bagi masa yang telah berlalu. Selain itu pengembaraan merentasi masa sebenarnya merupakan pengembaraan yang sehala, kita hanya boleh bergerak kemasa lampau dan tidak mungkin kemasa depan. Oleh itu tidak menghairankan apabila Hawking menyatakan kita hanya akan mengingati masa lampau dan bukan masa hadapan.

Tetapi ada sesuatu yang berbeza apabila permasalahan ini dilihat dari sudut keagamaan atau teologi. Mereka-mereka yang beragama terutamanya penganut-penganut agama samawi amat mempercayai ketentuan Tuhan atau yang dinamakan takdir. Takdir menurut individu-individu tersebut adalah satu ketentuan masa hadapan yang telah disediakan dan ditetapkan oleh Tuhan pencipta mereka. Oleh itu dari sudut teologi masa hadapan sebenarnya telah wujud dan manusia hanya berada pada satu titik dalam garisan masa tersebut dan sedang menuju kemasa hadapan yang memang telah tersedia.
Perbezaan pendapat dan pandangan dalam kedua-dua bidang ini iaitu teologi dan sains tidak dapat dielakkan. Cuma kadang kala terdapat perbezaan yang tajam dan ekstrem dalam kedua-dua aliran ini iaitu apabila ianya menyentuh tentang asal-usul kejadian samada ianya melibatkan penciptaan secara mutlak atau kewujudan secara kebetulan lalu berkembang secara rawak dalam proses evolusi.

Perbezaan kedua pihak ini begitu ketara dan keras dengan di satu pihak mengistyiharkan mereka atheis dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan dan fungsinya dalam penciptaan dan sementara di pihak yang satu lagi amat menyanjungi keagungan dan kekuasaan Tuhan dalam proses penciptaan. Pertembungan di antara kedua idealogi ini tidak mungkin akan menemui jalan penyelesaian jikalau kedua-dua pihak begitu taksub akan pegangan masing-masing. 

Berbalik kepada permasalahan masa hadapan disini jelas terdapat satu persamaan atau satu ketentuan iaitu memang masa hadapan telah wujud . Perbezaannya ialah samada ianya boleh diubah atau sebaliknya. Jika ahli-ahli teologi amat mempercayai bahawa masa hadapan telah tersedia ada oleh itu secara teorinya ia adalah selari dengan teori sains. Masalahnya disini ialah manakala mereka-mereka yamg menolak konsep penciptaan percaya bahawa semua asas penciptaan dialam semesta ini adalah materi begitu juga dengan masa oleh itu mereka boleh memanipulasinya termasuk mengembara merentasi masa.

Ahli-ahli teologi mempercayai bahawa masa adalah khazanah atau perbendaharan mutlak Yang Maha Pencipta. Manakala ahli-ahli sains pula menyatakan bahawa masa adalah satu konsep dalam ruang waktu dan ianya bersifat relatif dan sejak akhir-akhir ini telah ada pendapat yang mengatakan bahawa masa adalah hanya satu persepsi sahaja. Perbezaan dan pertembungan pendapat ini akan berterusan sehinggalah konsep dan rahsia masa yang sebenarnya terbongkar.

Kajian-kajian terhadap kerahsiaan masa adalah satu proses ilmiah yang berterusan dimana sejak akhir-akhir ini telah menarik ramai ahli-ahli teoritikal fizik melibatkan diri secara serius dan telah ada yang membuat kesimpulan bahawa pengembaraan melalui masa adalah sesuatu yang logik. Dengan pemahaman yang mendalam tentang teori relativiti kecerdasan manusia telah hampir dapat merungkai banyak kesamaran yang meliputi selama ini seperti hukum graviti, teori kuantum dan sebagainya.

Terbaru adalah pemahaman tentang konsep ruang dan masa. Dalam teori relativiti Einstain, graviti mempunyai efek yang amat besar terhadap ruang dan masa. Suatu jisim yang mempunyai daya graviti yang amat besar berupaya meleding dan mengherot ruang dan masa. Ini bererti jika keadaan ini boleh dimanipulasi maka fakta bahawa jarak terdekat antara 2 titik haruslah dalam satu garisan lurus sudah menjadi tidak benar lagi kerana apabila dimasukkan faktor graviti dengan kemampuan meleding dan mengherot ruang masa, maka jarak terdekat antara 2 titik bukan lagi dalam satu garisan lurus tetapi sebaliknya hanyalah pada satu titik.

Sunday, December 7, 2008

KEABADIAN ALAM




Telah menjadi satu fakta bahawa alam semesta sememangnya dalam keadaan mengembang terus-menerus atau dengan kata lain alam semesta ini semakin meluas dan melebar. Bermula dengan dengan satu titik (singularity) alam semesta bersepai dalam satu proses yang di kenali sebagai The Big Bang. Bermula sejak itu alam semesta ini dengan bilangan berbillion galaksi yang terhasil natijah dari letupan besar tersebut, menjarakkan diri antara satu sama lain dengan kecepatan yang amat luar biasa dan hasilnya alam semesta semakin meluas dan membesar tanpa henti.

Beberapa persoalan timbul dalam fakta meluasnya alam semesta ini iaitu adakah ianya tanpa noktah dan akan terus menerus meluas dalam ruang masa infinit. Ada juga pendapat dari ahli-ahli sains dan pemikir-pemikir yang menyatakan bahawa alam semesta akan mengembang hingga kesuatu tahap mencapai titik henti, kemudian alam semesta akan mula menguncup dan akhirnya kembali kesatu titik yang mempunyai kepadatan yang mutlak (singularity). Menurut pihak yang menganut fahaman ini mereka ada melontar satu teori iaitu big collapse lanjutan daripada teori big bang. Big collapse atau keruntuhan besar adalah dimana alam semesta akan mula menguncup dan runtuh ke satu titik pusat yang disebabkan oleh daya tarikan graviti yang sangat kuat dengan mengambil contoh pengembangan belon yang ditiup. Daya regangan antara atom pada dinding belon tidak akan membenarkan lagi belon tersebut mengembang hingga kesuatu tahap di mana belon tersebut akan meletup.

Dalam konsep pengembangan alam proses yang sama akan berlaku secara teori, Cuma yang membezakan di antara keduanya adalah daya yang menahan pengembangan ini adalah tarikan graviti. Alam semesta dikatakan akan terus menerus mengembang tetapi ianya tidak akan terlepas atau terlucut dari daya tarikan graviti yang mana pada akhirnya akan memaksa alam semesta menguncup kembali. Teori ini merupakan satu pendapat yang popular dan amat diyakini hipotesisnya buat masa ini. Individu-individu seperti Einstein dan Stephen W.Hawking adalah individu-individu yang berpegang atas prinsip ini.

Teori big collapse menunjukkan bahawa alam semesta sebenarnya mempunyai jangka waktu atau hayat tertentu dan tidak bersifat kekal abadi. Teori ini mungkin akan mencipta satu jambatan keharmonian dengan mereka-mereka yang beragama. Kebanyakan agama-agama besar dunia seperti Kristian dan Islam memang menganut fahaman kemusnahan alam ini. Tidak dinafikan dan mungkin akan menjadi suatu fakta bahawa alam semesta akan musnah atau sedang menuju kemusnahan. Persoalannya disini apakah big collapse merupakan teori yang benar dan unggul dalam menerangkan tentang proses kemusnahan alam. 

Big collapse menyatakan bahawa alam semesta bakal musnah pada satu titik kepadatan mutlak akibat satu daya tarikan graviti pusat. Ini menunjukkan bahawa alam semesta yang mengandungi bilangan berbillion galaksi yang pada pengamatan pengkaji-pengkaji astronomi adalah dalam berkeadaan menjarakkan diri antara satu sama lain dengan kecepatan yang luar biasa bahkan semakin menambahkan kelajuannya terus menerus tanpa menunjukkan apa-apa tanda bahawa pengembangannya semakin perlahan atau akan terhenti, Oleh itu mungkinkah alam semesta ini akan mula berpatah balik ke belakang (reverse) dan akhirnya runtuh kembali pada satu titik kepadatan mutlak(singularity). Teori ini juga seolah-olah menghipotesiskan bahawa ditengah-tengah alam semesta yang semakin meluas dan melebar ini akan terdapat satu titik yang bersifat kekal abadi dimana ianya merupakan sumber yang menghasilkan graviti yang sangat kuat dan berupaya menahan dan memperlahankan pengembangan alam semesta dan seterusnya akan menariknya kembali menjadi satu titik kepadatan mutlak.

Secara tanpa sedar dalam konsep big collapse telah dimasukkan satu unsur iaitu keabadian alam. Keabadian alam dalam konsep big collapse dinyatakan apabila dipercayai terdapat satu titik kepadatan mutlak ditengah-tengah alam semesta ini yang mengawal pergerakan galaksi-galaksi. Titik kepadatan mutlak ini dibayangkan sebagai massive black hole. Lubang hitam gigantik ini yang mempunyai kuasa graviti mega akan memaksa alam semesta runtuh pada satu titik mutlak dan apakah selepas itu akan bermula kembali proses big bang dan alam semesta akan tercipta kembali. Jika ini berlaku maka alam semesta sebenarnya dan tidak dapat dinafikan lagi adalah bersifat kekal abadi. Apabila persoalan ini dicampakkan kedalam dunia teologi bagi mereka mereka yang tidak mempercayai teori penciptaan ini adalah jawaban mutlak dalam kejadian alam iaitu the big bang dan the big collapse. Dan bagi mereka yang menganut fahaman beragama itu adalah merupakan satu tanda keagungan Tuhan dan bagi mereka yang kritis akan ditambah pula satu pertanyaan ada kah Tuhan mempunyai pilihan dalam penciptaan atau harus tunduk kepada hukum yang telah ditentukanNya sendiri. Dan yang pastinya Tuhan tidak akan ditanya tetapi kitalah yang akan ditanya. Persoalannya adakah alam semesta ini akan tetap bersifat kekal abadi samada ia mengembang secara berterusan atau selepas mengalami keruntuhan (Big Colapse) atau adakah alam semesta ini akan berterusan mengembang dan akhirnya tersejat dan lenyap begitu sahaja didalam ruang masa infinit.

RAHSIA MASA


Apabila dikaitkan dengan persoalan samada kita dan dunia di sekeliling kita ini adakah suatu realiti atau ilusi, maka faktor masa merupakan komponen yang paling penting dan merupakan satu wadah atau bekas dimana setiap kejadian itu ditempatkan.

Membicarakan persoalan masa merupakan satu perbicaraan besar yang meliputi ruang yang amat luas dan merupakan pokok kepada segala rahsia penciptaan. Dalam menyentuh konsep penciptaan maka faktor masa merupakan asas dan intinya. Masa tidak dapat dipisahkan dalam setiap kejadian penciptaan dan di dalam apa rupa bentuk dimensi sekali pun.

Sudah menjadi fakta dalam pengetahuan kita bahawa masa bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak bahkan sebaliknya ia adalah sesuatu yang bersifat relatif. Maksudnya bahawa setiap daripada kita atau sesuatu objek itu tidak terikat kepada suatu faktor masa yang mutlak sebaliknya ianya berbeza pada setiap individu bergantung kepada pergerakan (halaju) individu tersebut dibandingkan dengan halaju mutlak iaitu pergerakan cahaya.

Oleh itu didalam hukum fizik semakin laju kita bergerak, maka masa akan menjadi semakin perlahan. Sebagai penjelasan diandaikan kita boleh bergerak selaju cahaya maka kita pasti akan melihat dunia di sekeliling kita seakan-akan menjadi seperti kaku, beku dan tidak bergerak. Pada masa itu kita akan melihat ombak seolah-olah membeku, kapal terbang seolah-olah melekat di langit dan hujan yang turun seolah titisan-titisan kristal yang terapung dan tidak jejak kebumi dan lebih aneh lagi jika kelajuan itu dapat dipacu melebihi kelajuan cahaya maka pada masa itu kita akan melihat cahaya matahari yang memancar seolah-olah hujan kabus yang berwarna-warni sedang menyirami bumi dan banyak lagi keanehan-anehan yang sukar untuk digambarkan secara jelas. 

Contoh lain yang boleh dibuat perbandingan ialah apabila kita meluncur keluar dari planet bumi menuju keruang angkasa dengan kelajuan melebihi kelajuan cahaya dan kita mampu meneropong kebumi terus-menerus maka pada masa itu apa yang ternampak oleh kita adalah suasana planet bumi yang kembali ke zaman silam. Dengan kata lain masa telah berputar kebelakang. Masa bukan sahaja semakin perlahan malah akan terhenti dan seterusnya akan berputar kembali kebelakang jika seseorang itu bergerak semakin laju jauh melangkaui kelajuan cahaya. 

Perbandingan-perbandingan seperti yang dinyatakan di atas adalah merupakan suatu keanehan dan mungkin tidak terjangkau oleh pemikiran yang biasa. Tetapi keanehan-anehan yang dirasakan itu sebenarnya adalah apa yang kita semua alami dan hadapi pada setiap masa dan ketika tanpa kita menyedarinya.

Sedarkah anda bahawa apabila kita memandang kelangit dan memandang bintang-bintang di malam yang terang, kita sebenarnya memandang ke masa silam. Bintang-bintang sebenarnya berada dalam kejauhan jarak yang luar biasa dari kita. Jaraknya tidak lagi dihitung dengan kiraan batu atau km tetapi sebaliknya dalam kiraan tahun cahaya. Ada di antara bintang-bintang itu mencapai kejauhan ratusan dan ribuan tahun cahaya dari kita. Jika diambil kira kedudukan galaksi-galaksi yang berada diluar galaksi kita ini iaitu Bima Sakti (milkway galaxi ) ianya lebih menakjubkan lagi dengan kejauhan yang mencapai jutaan bahkan billion tahun cahaya. Oleh itu apabila kita merenung bintang-bintang pada hakikatnya kita sedang merenung jauh kemasa silam.

Stephen W. Hawking telah mengklasifikasikan masa dalam tiga kategori iaitu termodinamik time, cosmologikal time dan psikologikal time. Ketiga-tiga kategori ini pula menuju dan mengarah pada hala ( time arrow) yang sama. Atas konsep inilah menurut Hawking ia menjelaskan kenapa kita hanya mengingati masa silam dan bukan masa depan. Hawking ada menyentuh tentang Arrow of time ini secara ringkas dan kemunasabahannya pengembaraan melalui masa (Time Travelling) dalam buku beliau Brief History Of Time From The Big Bang To Black Holes. Keanehan dalam kerahsiaan masa ini dapatlah dirumuskan bahawa seolah-olah ianya akan dapat dimanipulasi di mana seorang itu akan mampu pergi ke masa depan dan kembali ke masa silam.Dimana secara teorinya ini akan memungkinkan kita mengembara melalui terusan masa.

Ada sesuatu yang tidak difahami oleh Hawking yang cuba mengungkap hakikat masa dari sudut hukum kuantum bahawa masa yang relatif itu sendiri adalah sebenarnya tertakluk kepada satu hukum realiti masa yang mutlak. Dalam permasalahan ini beliau ada melontarkan pertanyaan “Adakah Tuhan mempunyai PILIHAN dalam proses penciptaan yang begitu komplek ini atau adakah Tuhan mencipta alam semesta ini seperti permainan jigsaw puzzle dengan mengkucar-kacirkannya dan melontarkannya jauh-jauh”.Alam semesta ini dalam teori kuantum adalah menuju kesuatu arah ketidak seimbangan yang sukar diramal selari dengan proses pengembangan alam semesta dengan kecepatan yang amat menakjubkan. Dalam realiti, alam semesta ini sebenarnya bermula dengan satu titik keseimbangan yang amat tinggi dan mula beransur menuju kearah ketidak seimbangan dan persoalannya adakah ia menuju kearah kemusnahan?. Mungkinkah alam semesta ini sebenarnya dalam proses evolusi yang berulang dengan kata lain alam semesta ini sebenarnya adalah bersifat kekal abadi.

REALITI ATAU ILUSI


Tidak mungkin ada yang menafikan bahawa diri kita dan segala sesuatu yang ada disekeliling kita ini adalah realiti. Mana mungkin ianya suatu ilusi jika kita dapat memegang,merasa,melihat rupa bentuk,mendengar bunyinya dan mencium baunya. Mustahil ianya suatu ilusi jika benda-benda yang kita miliki baik berupakan harta benda atau mereka-mereka yang kita kasihi yang boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada jiwa jika kita kehilangannya. Mana mungkin ianya satu mimpi apalagi ilusi,

Adakah kita sekali lagi akan terperangkap dalam tradisi berfikir yang biasa dan tidak mungkinkah kita sebenarnya tertipu dengan konsep logik kita selama ini. Telah dimaklumkan bahawa asal-usul asas sesuatu materi dengan kata lain atom-atom adalah dari kosong (nil) yang mana pada hakikatnya adalah dari tiada permulaan. Oleh itu adalah mustahil sesuatu objek yang mana bahan binaannya tidak wujud akan menghasilkan objek yang wujud.
 
Mungkinkah diri kita dan segala yang ada disekeliling kita ini bukan sesuatu yang realiti atau dengan kata lain hanya suatu ilusi. Agak sukar untuk kita mengakuinya tetapi mungkin sebenarnya itulah hakikatnya. Ianya dikatakan ilusi kerana ia hanya merupakan imej-imej yang terpancar dan terbentuk didalam ruang minda kita yang sempit yang kita namakannya sebagai otak (brain) yang terletak dan tertutup rapat dalam ruang gelap tulang temporal.

Di dalam ruang yang gelap itulah sebenarnya terbentuk imej-imej yang mewarnai dunia di sekeliling kita, jarak infinit ruang angkasa yang kita pandang, bunyi yang didengar dan segala bau-bauan yang dihidu. Semua itu hanyalah terjadi didalam ruang sempit otak yang berukuran beberapa cm luasnya. Jadi pada hakikat dan realitinya itulah ruang yang membentuk persepsi kita dimana jika kita merenung kelangit akan ternampaklah keluasan yang tidak berpenghujung, walhal kesemua keluasan-keluasan infinit itu hanyalah imej-imej yang terbentuk diruang lingkup otak kita yang amat sempit ini.

Apa yang cuba disampaikan adalah bahawa kesemua imej-imej yang dipandang,dirasa dan dilihat hanyalah merupakan persepsi dari hasil terjemahan otak berdasarkan input-input yang diterima oleh kesemua pancaindera kita. Persoalannya disini apakah signal-signal yang diterjemahkan oleh otak kita itu benar-benar mewakili sesuatu yang berada diluar otak kita itu. Ini merupakan satu persoalan yang besar kerana signal-signal yang dibawa oleh kesemua pancaindera kita tidak mungkin boleh atau mampu mewakili kesemua imej-imej sebenar yang berada diluar sana. Otak hanya mampu menterjemahkan setakat apa yang dibawa oleh signal-signal tersebut dan tidak mungkin akan melebihinya.

Sebagai contoh mata hanya dapat melihat dan menterjemah 7 spektrum cahaya dan diterjemahkan oleh otak sebagai warna.Walhal diluar sana terdapat beribu-ribu sinar dan warna yang tidak mungkin dapat dikesan oleh mata dan tidak dapat diterjemahkan oleh otak dan hasilnya tidak akan terlihat atau terpandang oleh kita. Jadi realiti diluar sana adalah amat berbeza sekali dengan apa yang kita pandang dan lihat hasil dari terjemahan dan persepsi dari otak. Oleh itu pada suatu peringkat kita sebenarnya melihat suatu persepsi yang hanya terhasil didalam otak kita yang pada hakikatnya tidak benar-benar mewakili alam yang berada diluar sana. Contoh lain umpamanya di dalam dunia serangga seperti lebah yang melihat objek melalui gelombang cahaya ultra ungu melihat dunia persekitarannya adalah dengan cara yang amat berbeza daripada apa yang kita lihat. Ini boleh menjelaskan kekeliruan tentang delusi dan halunisasi yang dialami oleh mereka-mereka yang menghidapi masalah mental atau psikotik. Mereka-mereka yang menghidapi kecelaruan mental ini akan melihat sesuatu atau dunia dipersekitaran secara berbeza dari apa yang kita takrifkan normal. Mereka-mereka yang dianggap tidak normal ini mungkin melihat sesuatu yang menakutkan hasil dari persepsi otak mereka yang mengakibatkan mereka bertindak ganas dan diluar kawalan, walhal kita yang normal ini tidak pula melihat dan nampak benda-benda yang sama walaupun kita berada berdekatan dan berhampiran dengan mereka..

Kekeliruan ini membuktikan bahawa terdapat ketidak pastian yang sebenar-benarnya tentang apakah yang terdapat diluar sana, persepsi siapakah yang benar diantara dua individu itu 
Apakah kita individu yang dianggap normal dan siapakah yang akan dapat memastikan ianya benar?. Mungkinkah ini yang menyebabkan tercetusnya kata-kata bahawa hidup itu hanyalah suatu ilusi dan hidup itu hanyalah satu fatamorgana. Adakah kata-kata itu hanya merupakan satu ungkapan biasa ataupun dicetuskan oleh para pemikir yang mula dapat merasai dan menghuraikan sekelumit dari rahsia-rahsia penciptaan.

Secara kesimpulannya dapat dirumuskan bahawa keujudan sesuatu diluar lingkup persepsi yang diterjemahkan kepada kita adalah amat berbeza dari segi realitinya diluar sana. Diluar sana cahayanya lebih berwarna-warni dan bunyi-bunyiannya lebih pelbagai dan beraneka. Persoalan besarnya adakah semua itu satu realiti?.

Saturday, December 6, 2008

KEJADIAN YANG PERTAMA


.

Sudah menjadi satu lumrah dan adat kebiasaan berfikir di mana segala sesuatu yang telah wujud ini diandaikan pasti ada titik permulaannya. Akal logik manusia akan merumuskan bahawa akan ada titik permulaannya bagi setiap kejadian baik yang berupa materi atau pun tidak. Persoalannya apakah ianya benar. Apakah asas logik yang kita gunakan dalam kaedah berfikir ini akan menjawab segala persoalan kewujudan yang terdapat disekeliling kita.

Jika diselami akan asas sesuatu penciptaan itu kita tidak akan dapat menafikan berdasarkan ilmu pengetahuan yang kita miliki setakat ini bahawa asal materi sesuatu benda itu adalah atom. Dari susunan dan ikatan antara atom-atom itu telah mewujudkan berbagai bentuk unsur dimuka bumi ini dari yang paling ringkas hinggalah ke unsur yang paling kompleks. Ajaibnya atom-atom itu sendiri adalah terdiri dari partikel-partikel yang lebih seni seperti proton dan neutron yang membentuk nukleus atom sementara elektron yang jauh lebih halus pula mengitari nukleus-nukleus ini seperti sistem planet-planet yang mengorbit bintang. 

Lebih menakjubkan lagi proton,neutron dan elektron pula bukanlah merupakan partikel yang paling asas yang menbentuk atom,sebaliknya ianya sendiri terbentuk dari partikel-partikel lain yang lebih seni yang baru diketemui seperti photon dan lain-lain partikel yang belum dikenal pasti.. Di sini terlihat bahawa materi asal sesuatu benda itu sendiri mempunyai susun lapis partikel yang tidak berkesudahan permulaannya. Oleh itu apakah misteri penciptaan itu sendiri, jika benar asal sesuatu itu ada Penciptanya, maka asas dan seni Pencipta yang Mencipta itu adalah seolah-olah berasaskan seni penciptaan kotak di dalam kotak.(Box in the boxes).

Konsep penciptaan kotak di dalam kotak ini menunjukkan bahawa setiap materi di alam semesta ini mempunyai unsur dari bahan asas yang tidak berkesudahan atau infinit.Dalam logik yang mudah asal sesuatu materi itu adalah dari titik nil (kosong) yakni dari asalnya tiada. Ironinya logik ini tidak mudah dapat diterima dalam konsep berfikir secara tradisi iaitu bahawa setiap sesuatu pasti akan ada permulaan asasnya dan untuk mengelakkan pertikaian yang tidak berkesudahan ianya dinamakan infinit yang pada hakikatnya tidak berbeza daripada kosong.

Konfliknya disini ialah setiap sesuatu itu pada hakikatnya tiada asal-usul bahan unsurnya dalam penciptaan tetapi didalam jangka waktu sudah pasti ada titik permulaannya. Kesimpulan yang boleh dirumuskan disini ialah bahawa setiap sesuatu yang wujud itu akan ada permulaanya iaitu pada satu titik dalam waktu dan persoalan lain yang timbul adalah adakah kewujudan sesuatu itu ada tempoh dalam waktu atau adakah ianya akan wujud selama-lamanya dalam ruang waktu infinit.

PENCIPTAAN:PERMULAAN TANPA PENGAKHIRAN

Berapa ramaikah di antara kita pernah memikirkan tentang asal-usul segala sesuatu dan segala benda yang terdapat di alam semesta ini termasuk diri kita sendiri. Asal-usul yang dimaksudkan adalah pertanyaan dari manakah datangnya segala sesuatu itu baik yang bernyawa atau pun yang tidak,bilakah mula masa kejadiannya dan kemanakah akhir kesudahannya.

Adakah segala benda atau materi yang wujud di alam semesta ini baik yang berada di bumi atau di seluruh alam semesta mempunyai titik permulaannya atau adakah ia memang wujud tanpa titik permulaan dan adakah ianya mempunyai tempoh hayat menuju kemusnahan atau pun sekadar pertukaran rupa dari bentuk ke bentuk.

Adakah segala materi di sekeliling kita ini wujud secara spontan atau adakah semua ini hanya sekadar ilusi yang mana pada hakikatnya segala sesuatu itu sebenarnya tidak wujud, yang wujud hanyalah imej-imej dan gelombang-gelombang yang bergetar yang dipancarkan kepada kita. Persoalan lain pula akan timbul siapakah dan apakah sumber-sumber yang memancarkan kesemua ini dan kenapa?.

Persoalan lain yang menerjah akal kita adakah kemungkinan kewujudan dimensi lain yang berbeza dari kita dan tanpa kita menyedarinya bahkan kita tidak mempunyai langsung pengetahuan mengenainya. Mungkinkah segala apa yang wujud ini adalah secara kebetulan yang akan melalui proses evolusi menuju kesempurnaan atau adakah ianya merupakan satu penciptaan yang cukup sempurna yang mana diluar kemampuan akal manusia untuk menghuraikannya.

Disini penulis akan cuba untuk membawa pembaca semua untuk bersama merenung dan memikirkan kerahsiaan segala sesuatu yang wujud di alam semesta ini samada kewujudannya hanya sekadar kebetulan atau hanya sekadar bayangan ilusi atau adakah ia membawa petunjuk kepada kewujudan satu kuasa Yang Maha Pencipta.